Malaysia Dateline

YB Pas Terengganu bakal berdepan hukuman denda RM50,000

Anggota Exco kerajaan Terengganu Dr Alias Razak bakal berdepan risiko kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Mahkamah Majistret Kuala Terengganu menjadualkan pendakwaan ke atasnya pada 29 Mac nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal itu bakal didakwa mengikut Seksyen 68 (1) Akta Syarikat 2016 kerana gagal menyerah simpan penyata tahunan syarikat pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkenaan merupakan Pengarah Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd.

Majistret Norina Maludin menetapkan 29 Mac depan bagi sebutan semula kes itu setelah ditangguhkan kerana Alias tidak dapat hadir dalam prosiding hari ini atas alasan menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang telah dijadualkan lebih awal.

Alasan ketidakhadiran tersebut dikemukakan oleh peguam Saifuddin Othman yang mewakili Alias hari ini di Mahkamah Kuala Terengganu.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Adam Mamat mengetuai proses pendakwaan dan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000.

Alias memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar sejak 2018 setelah Pas membentuk kerajaan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).