Malaysia Dateline

YB Pengkalan Kundor santuni warga emas dua kali seminggu

Dr Ismail ketika menziarahi pesakit terlantar di Pengkalan Kundor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh membuktikan AMANAH Kedah sentiasa peduli dengan nasib rakyat khususnya mereka yang memerlukan.

Setiap hari Isnin dan Khamis menjadi rutin buat beliau untuk menyantuni warga emas serta mereka yang mengalami penyakit kronik.

Menurutnya, sebaik sahaja mendapat makluman mengenai keperluan mana-mana golongan dalam kawasan yang diwakilinya, tindakan segera akan dilaksanakan melalui pelbagai kaedah dan cara.

“Semua golongan masyarakat disantuni. Saya menziarahi mereka yang sakit sambil memberi sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka.

“Sumbangan yang diberi berupa barangan keperluan harian yang boleh dimanfaatkan sepanjang masa,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu berkata, kawasan disantuninya tertumpu di sekitar DUN Pengkalan Kundor iaitu Kampung Pisang dan Kampung Padang Jambu, Simpang Empat.

Beliau memberitahu sumbangan kepada rakyat yang memerlukan diagih setelah dikenal pasti oleh Pusat Khidmat Rakyat bagi DUN Pengkalan Kundor.

Dalam masa sama, jelasnya, khidmat kesihatan juga diberi kepada warga emas yang diziarahi agar mereka sentiasa menjaga kesihatan.

Khidmat kesihatan juga, tambahnya, bagi memastikan golongan terbabit mengikut arahan yang telah diberikan oleh doktor selain mengamalkan gaya hidup sihat dalam norma kehidupan baru ketika wabak Covid-19 masih ada ini.

“Saya berharap dengan sumbangan yang diberi dapat memberi sinar harapan buat mereka serta kekuatan untuk menjalani kehidupan pada masa akan datang,” kata Dr Ismail lagi.

Penduduk kampung yang diziarahi Dr Ismail juga diberi sumbangan barangan keperluan.