‘YB Sivarasa memang tidak pernah setuju gerai penjaja Melayu diroboh’

‘YB Sivarasa memang tidak pernah setuju gerai penjaja Melayu diroboh’

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merobohkan gerai penjaja di kawasan itu tanpa diberi tapak gantian.

Pegawai khas wakil rakyat tersebut, Naveen berkata operasi perobohan beberapa gerai penjaja di Seksyen 4, Kota Damansara hari ini dilakukan tanpa pihak MBPJ memaklumkan kepada pihaknya.

Naveen

“Semalam baru dapat maklumat adanya perobohan pagi ini. Itu pun sumber daripada pihak polis yang beritahu.

“YB (Sivarasa) memang dari dulu tidak pernah setuju langsung (operasi perobohan gerai penjaja Melayu). Kalau gerai itu baru muncul dan beri amaran, lainlah.

“YB juga sudah banyak kali ingatkan semua ahli majlis berkaitan perobohan. Operasi meroboh paling kurang pun Pejabat Ahli Parlimen dimaklumkan supaya kita tahu.

“Ini sudah biar 10 tahun dan tiba-tiba mahu hentikan serta-merta. Itu tidak adil,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di lokasi perobohan tersebut hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang operasi pihak MBPJ yang membabitkan tujuh unit gerai penjaja Melayu di Jalan Camar 4/4 dan Jalan Camar 4/5A.

Untuk rekod, lokasi tersebut mempunyai lot bangunan kedai dua tingkat dan gugusan rumah pangsa kos rendah lima tingkat.

Walau bagaimanapun, hanya dua gerai terlibat yang mempunyai struktur kekal dirobohkan setakat jam 11.30 pagi tadi manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Shatiri Mansor atau wakilnya tidak kelihatan di lokasi itu.

“Saya (Naveen) berharap lima (gerai) lagi tidak dirobohkan lagi. Pihak MBPJ sewajarnya lebih ada budi bicara, buat dialog dengan peniaga terlibat dan cari tapak gantian” tegasnya.

Usaha ‘memujuk’ pihak penguatkuasa untuk tidak meneruskan operasi meroboh.

Punca rezeki

Naveen berkata, pihaknya hanya mengetahui tentang notis berkenaan operasi tersebut daripada peniaga terbabit kelmarin.

“Kami sudah maklumkan pada pihak ahli majlis Zon 3 PJU 4 & PJU5, Tang Fuie Koh. Dia akan berhubung dengan pihak MBPJ.

“Semalam pun ahli majlis turun dan adakan sesi dialog dengan peniaga di sini. Ada yang bekerjasama dan kosongkan dewan kanopi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya mengadakan perbincangan dengan rakyat terlebih dahulu sebelum operasi perobohan dilakukan.

Antara peralatan milik peniaga yang gerainya dirobohkan MBPJ.

“Biar PBT cari tapak gantian, peniaga boleh pindah dan punca rezeki mereka tak putus. Paling kurang adakan dialog dan cari tapak gantian untuk mereka boleh berniaga.

“Sekarang, mana mereka nak cari makan dengan ada yang menanggung anak yang masih bersekolah lagi?” katanya.

Ditanya tindakan susulan pihak Pejabat Ahli Parlimen Subang, beliau berkata, sumbangan kecemasan akan diagihkan selepas solat Zohor ini.

“Esok kami akan duduk dengan PBT ambil jalan penyelesaian yang paling cepat untuk menentukan tapak gantian supaya mereka dapat kembali berniaga,” kata Naveen lagi.

Barangan peniaga di tepi jalan selepas gerai diroboh.

Tinjauan Malaysia Dateline pagi tadi mendapati operasi turut dikawal sepasukan anggota polis. Seorang individu yang memakai kemeja-T berlogokan PKR dilihat berang apabila mengherdik Naveen ketika gerai makanan kedua sedang dirobohkan.

Pada masa sama, terdapat ahli keluarga peniaga terbabit sibuk menyelamatkan barangan jualan dan peralatan gerai masing-masing. Dua wanita pula dilihat berlinangan air mata sambil mengemas barangan mereka.

Beberapa bakul mengandungi buah nanas juga dirampas daripada sebuah gerai menjual buah-buahan bersebelahan padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4 Kota Damansara.

Sementara itu, seorang anak kepada salah seorang peniaga terjejas yang tidak mahu dikenali memberitahu pihak PBT sebelum ini tidak pernah mahu melayan permohonan lesen mereka.

Naveen berbincang dengan pihak penguatkuasa agar perobohan tidak diteruskan.