YDP Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin di Istana Negara

YDP Agong berangkat ke majlis bacaan Yasin di Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Surau Istana Negara, malam ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ke majlis itu pada 7 malam ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Majlis majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil itu dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abdul Aziz Che Yacob yang dimulakan dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin dan solat Isyak malam tadi..

Turut berangkat sama dalam majlis itu ialah kerabat-kerabat diraja Pahang termasuk Sultanah Hajah Kalsom.

Kira-kira 250 jemaah lain turut hadir ke majlis berkenaan termasuk pelajar sekolah tahfiz Pondok Moden al-Abaqirah, Gombak.

Ini adalah kali pertama baginda menghadiri majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Istana Negara sejak melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Selepas selesai majlis berkenaan, baginda berdua berangkat ke majlis santapan malam bersama jemaah dan tetamu lain.

Majlis itu adalah untuk memohon kesejahteraan dan kesihatan baginda berdua untuk memerintah negara selama tempoh lima tahun dan memohon kesejahteraan dan kesihatan seluruh rakyat Malaysia.– BERNAMA