Malaysia Dateline

YDP Agong cadang anjur majlis perbincangan perkukuh pentadbiran institusi agama Islam negeri

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhasrat menganjurkan majlis perbincangan antara mufti, pengarah Jabatan Agama Islam dan Ketua Hakim negeri-negeri bagi mengukuhkan pentadbiran institusi agama Islam.

Seri Paduka bertitah majlis perbincangan itu mampu menjadi platform bagi pentadbir institusi agama Islam bermuafakat secara lebih konsisten serta memastikan semua aspek pentadbiran itu lebih kukuh dan efisien.

“Saya berpandangan pentadbiran agama Islam boleh menjadi lebih kukuh dan efisien melalui kaedah musyawarah antara semua negeri.

“Melalui pendekatan ini kita boleh kongsi, bertukar-tukar pengalaman demi mencapai hasrat yang satu,” titah Seri Paduka pada Majlis Sembah Taklimat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di sini hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat MAIM oleh Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang juga Pengerusi MAIM.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, barisan Exco kerajaan negeri Melaka dan Anggota Parlimen serta Dewan Undangan Negeri Melaka.

Sultan Abdullah bertitah majlis perbincangan itu dicadang diadakan pada 18 Jun ini bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Titah Seri Paduka, majlis itu juga akan memberikan ruang kepada pemimpin serta pentadbir institusi agama Islam negeri bagi memaklumkan perkembangan dan berinteraksi dengan Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah pandangan, buah fikiran dan idea yang bernas daripada majlis perbincangan itu akan dipersembahkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-raja supaya ia menjadi suatu pandangan daripada pihak pentadbir institusi agama Islam tersebut.

“Mesyuarat Majlis Raja-raja akan diadakan atau selalu diadakan setiap tiga bulan dan ini bermakna majlis perbincangan ini akan kita adakan tiga bulan sebelum (Mesyuarat) Majlis Raja-raja,” titah Sultan Abdullah.

Sementara itu, Sultan Abdullah bertitah institusi agama Islam negeri memainkan peranan yang amat besar dalam menjadi dewan pemikiran dan pentadbiran agama Islam serta menjadi penghubung antara umat Islam dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi melaksanakan peranan tersebut pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri hendaklah berlandaskan kepada prinsip amanah ini kerana tanggungjawab mentadbir, mengurus agama Allah serta menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan suatu amanah yang wajib dilaksanakan,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah pemimpin dan pegawai tidak boleh mengkhianati amanah dan mengabaikan hukum-hukum Islam kerana tindakan sedemikian hanya akan membawa kepada musibah berpanjangan kepada rakyat khususnya umat Islam.

Dalam pada itu, Sultan Abdullah bertitah semua pengurusan institusi tahfiz di negeri-negeri diharap dapat berdaftar dengan pihak berkuasa yang terlibat bagi menjaga kebajikan pelajar institusi tersebut.

“Kerana ia melibatkan anak muda yang menjadi amanah Allah dan ibu bapa mereka. Jangan sekali-kali hampakan harapan mereka dalam melihat mereka menjadi tahfiz berwibawa,” titah Seri Paduka.- BERNAMA