YDP Agong  kecewa kakitangan, bekas penjawat awam terlibat rasuah

YDP Agong kecewa kakitangan, bekas penjawat awam terlibat rasuah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan, rasuah dan pembocoran maklumat dalam di kalangan kakitangan awam dan bekas penjawat awam.

Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titah baginda ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Titah baginda lagi, walaupun dilakukan oleh segelintir namun ia menghakis kepercayaan rakyat. 

Selain itu, Yang Dipertuan Agong menyokong inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan.

“Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam.

“Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu Rohingya di Myanmar,” titah baginda.

Seri Paduka juga mengambil kesempatan melahirkan rasa sukacitanya dengan kunjungan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Baginda juga menaruh harapan besar melalui Pelan Perpaduan, Kesepaduan dan Penyatuan yang akan digubal berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara akan dapat menyatukan rakyat.

“Janganlah kita cepat berpuas hati dengan usaha-usaha memupuk perpaduan yang telah dilaksanakan.

“Adalah tidak salah untuk kita berbeza pendapat namun gunakanlah saluran yang betul secara berhemah serta tanpa perlu melibatkan pihak luar mencampuri urusan dalaman negara,” titah baginda lagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran, barisan jemaah menteri, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetamu jemputan serta dif kehormat.

TAGS