YDP Agong lantik 10 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara

YDP Agong Sultan Muhammad V beramah mesra bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar (kiri) dan Duta Besar Mesir ke Malaysia Gamal Abdel Rahim Mohamed Metwally (kanan) pada Istiadat Penerimaan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap Ketua-Ketua Perwakilan Asing di Istana Negara hari ini. 
Turut sama Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah (dua, kiri).
–foto Bernama.

 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 ketua perwakilan Malaysia ke luar negara.

Mendahului senarai penerima watikah pelantikan ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar, Dr Azfar Mohamad Mustafar yang akan bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Perancis.

Azfar, 47, memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1996 dan pernah memegang beberapa jawatan termasuk Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim pada 2011 hingga 2015 dan Ketua Penolong Setiausaha (Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa) dari 2008 hingga 2009.

Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Negeri, Tan Yang Thai, 47, pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Konsul Jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai, China pada 2014 hingga tahun lepas dan Penasihat Kedutaan, Kedutaan Besar Malaysia di Moscow pada 2011.

Pada majlis yang berlangsung di Istana Negara itu, Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan sejak 2014, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, 53, menerima watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Cuba.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan dan Akaun di Kementerian Luar pada 2010 hingga 2014 dan Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou, China dari 2007 hingga 2010.

Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Venezuela sejak 2016, Muzafar Shah Mustafa, 49, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Kewangan, Kementerian Luar pada 2014 hingga 2016.

Watikah pelantikan itu turut dikurniakan kepada Setiausaha Bahagian (Bahagian Asia Timur) Jabatan Hubungan Dua Hala Kementerian Luar , Hendy Assan, 48, yang dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan. Beliau pernah berkhidmat di Jepun dan China.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah, 54, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Ukraine. Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2013 hingga tahun lepas.

Sultan Muhammad V turut mengurniakan watikah pelantikan itu kepada Setiausaha Bahagian Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam (CLMV) dan Oceania iaitu Sarimah Akbar, 51, yang akan berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Timor Leste.

Turut dikurniakan watikah pelantikan adalah Datuk Mohammad Ali Selamat, 48, yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Kuwait. Beliau merupakan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Arab Saudi sejak 2015.

Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Perancis, Mohamad Razdan Jamil, 46, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sudan dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Ilham Tuah Illias, 51, dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan menerima watikah pelantikan tiga ketua perwakilan asing ke negara ini iaitu Pesuruhjaya Tinggi India Mridul Kumar, Duta Besar Mesir Gamal Abdelrehim Mohamed Metwally dan Duta Besar Uzbekistan Ravshan Usmanov dipetik Bernama.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS