YDP Agong mahu Ahli Parlimen galas tanggungjawab penuh amanah, jujur dan dedikasi

YDP Agong  mahu Ahli Parlimen galas tanggungjawab penuh amanah, jujur dan dedikasi

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah supaya Ahli Parlimen yang dipilih menggalas tugas dengan amanah, jujur serta penuh dedikasi.

Menurut baginda, pemilihan (jawatan disandang) berkenaan adalah satu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul dengan penuh wibawa.

Justeru, baginda percaya Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang dan dapat merangsang dinamik berfikir.

“Bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik lagi benar, memberi cadangan, teguran dengan penuh berhemah dan bijaksana, penuh kesopanan bertatasusila, supaya institusi Parlimen terus dihormati, dipandang tinggi oleh rakyat serta dunia luar,” titahnya ketika berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi penggal pertama Parlimen Ke-14, hari ini.

Baginda juga menyokong tindakan kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak serta memberi bantuan sara hidup dalam usaha meringankan beban rakyat.

Sultan Muhammad V turut memuji ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.

“Beta mengalukan-alukan pendekatan kerajaan dalam menegakkan ketelusan, terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemah.

“Pada masa yang sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara.” titahnya.

Kerajaan akan menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September nanti yang dijangka menyumbang RM4 bilion kepada pendapatan negara.

Baginda juga berharap rakyat tidak dipengaruhi sentimen sempit, sebaliknya perlu berusaha membentuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 dengan berlapang dada.

“Mencari titik persamaan, bukan perbezaan dengan bekerjasama untuk kesejahteraan rakyat survival negara. Beta berharap semua kejayaan, pencapaian dan pengiktirafan dalam pelbagai bidang yang dicapai sebelum ini dapat dipertingkatkan,” titahnya yang turut menggesa kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memperbaiki taraf hidup rakyat miskin dan terpinggir.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote