Malaysia Dateline

YDP Agong mahu rakyat hidup dalam keadaan harmoni, saling menghormati

Yang di-Pertuan Agong bergambar selepas majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah.

Rakyat harus berada dalam keadaan harmoni serta hormat-menghormati antara satu sama lain.

Demikian dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustaffa Billah Shah semasa merasmikan Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang di Georgetown.

Jelas baginda lagi, hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira perbezaan bangsa dan agama perlu ditingkatkan.

Selain itu titah baginda, usaha untuk meningkatkan serta menyebarkan syiar Islam dalam negara ini perlu diteruskan dengan kaedah yang serba lengkap agar ia dapat menjadi agama contoh dan dipandang tinggi.

“Juga perlu diadakan kerjasama erat dengan agama-agama yang lain.

“Dengan ini maka rakyat akan senantiasa berada dalam keadaan hibah dan harmoni khususnya dalam negara yang berbilang kaum.

“Adalah dikagumi kerana negara ditadbir dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang boleh diperbaiki,” ujar baginda lagi.

Malah baginda juga amat berharap agar jawatan Ketua Hakim Syarie dan Hakim di Mahkamah Syariah dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

Kompleks Kehakiman Syariah tersebut telah dibina sejak 2012 lagi dengan kos sebanyak RM32 juta dan siap sepenuhnya pada tahun 2016.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan barisan exco kerajaan negeri.