Malaysia Dateline

YDP Agong perkenan potong 10 peratus gaji, emolumen, tiada rumah terbuka di Istana Negara

Yang Dipetuan Agong Sultan Muhammad V hari ini perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen baginda dipotong sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahannya dan tiada majlis sambutan hari raya di kediaman rasmi baginda di Istana Negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara petang ini oleh Datuk Panglima Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dalam Abdul Aziz memaklumkan Yang Dipertuan Agong amat prihatin terhdap hutang dan keadaan ekonomi negara.

” Baginda amat tersentuh dan menzahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah bermurah hati menyumbang ke Tabung Harapan Malaysia.

“Baginda tuanku juga ingin bersama rakyat menunaikan tanggungjawab baginda dengan perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen Baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan Baginda sebagai YDP Agong.

“Bersempena dengan sambutan Hari Raya pada tahun ini pula Baginda juga telah bertitah untuk tidak mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Istana Negara.

“Anggaran peruntukan kewangan untuk majlis tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik,” titah baginda.