YDP Agong  rasmi pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14

YDP Agong rasmi pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang cukup signifikan kerana buat pertama kali dalam sejarah menyaksikan Malaysia dipimpin kerajaan baharu, Pakatan Harapan.

Mesyuarat ini juga melakar sejarah tersendiri kerana ini merupakan kali kedua Yang di-Pertuan Agong merasmikan istiadat pembukaan penggal parlimen dalam tahun sama.

Pada 5 Mac lepas, Sultan Muhammad V merasmikan pembukaan mesyuarat pertama bagi penggal ke-6, Parlimen ke-13, sebelum Dewan Rakyat dibubarkan April lepas bagi memberi laluan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Penterakna Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja´ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhamad Nor Azizan Yahya.

Serentak itu, panji-panji Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das serentak dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ turut dimainkan.

Sultan Muhammad V kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Selepas pemeriksaan, baginda berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja´ kali kedua, sebelum lagu ‘Negaraku´ dimainkan sekali lagi.

Selesai istiadat berkenaan, Sultan Muhammad V diiringi ke Bilik Diraja di bangunan Parlimen untuk sesi bergambar sebelum ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan perasmian.

Mesyuarat kali ini akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos depan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS