YDP Agung sedia ampunkan Anwar segera

Yang Dipertuan Agung Sultan Muhammad ke V sedia untuk memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan beliau bebas dan menyertai politik.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu dinyatakan Tuanku dalam pertemuan pertama antara mereka semalam.

“Bagaimanapun kita perlu mengikuti segala proses yang perlu untuk pembebasan segera,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sehubungan itu, proses untuk permohonan pengampunan Anwar akan dilakukan segera.

“Kita berharap Datuk Seri Anwar dapat bebas segera dan seterusnya boleh terlibat dalam politik,” kata Tun Mahathir.

Selepas dibebaskan dan mendapat pengampunan, Anwar bebas untuk terlibat dalam politik sepenuhnya.

“Ia akan jadi pengampunan sepenuhnya, yang sudah bermaksud ia bukan sahaja diampunkan tetapi juga dibebaskan serta-merta selepas diampunkan.

“Selepas itu beliau bebas mengambil bahagian penuh dalam politik,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya, bilakah masanya, Tun Mahathir berkata, segala proses perlu dilalui.

“Selepas bebas, beliau perlu menyertai pilihan raya dan menjadi wakil rakyat untuk memegang jawatan kerajaan,” katanya.

Tun Mahathir dan empat lagi pemimpin utama PH menemui Yang di-Pertuan Agung di Istana Negara semalam sebelum majlis angkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri bermula.

Sebelum ini, PH membuat keputusan Tun Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri jika PH diberi mandat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

PH juga bersetuju, selepas menubuhkan kerajaan, proses permohonan pembebasan Anwar akan dibuat segera.

Selepas beliau layak, Anwar akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Mahathir.

9.0
OVERALL SCORE
: 7.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS