Malaysia Dateline

YDP Negeri Melaka tolak bubar Dun, akan lantik KM baru

Yang Dipertuan Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hari ini telah mendapat representasi bahawa Ketua Menteri, Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan berkata atas budi bicaranya, Yang Dipertua Negeri Melaka tidak bersetuju dengan permohonan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka yang dibawa Adly.

“Oleh yang demikian berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan Perkara 7 (2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka, Mohd Khalil akan melantik seorang Adun sebagai Ketua Menteri yang baharu dalam masa terdekat yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun Melaka.- BERNAMA.