YDPA bertitah Pahang perlu mencontohi pembangunan negeri Melaka

YDPA bertitah Pahang perlu mencontohi pembangunan negeri Melaka

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah negeri-negeri lain khususnya Pahang perlu mencontohi pembangunan yang ditonjolkan Melaka demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Seri Paduka turut berkenan menzahirkan rasa berpuas hati terhadap pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai oleh negeri Melaka.

“Saya rasa teruja dan kagum dengan pembangunan yang telah dinikmati rakyat Melaka dengan banyak perkongsian informatif diberikan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri di atas perancangan pada masa hadapan.

“Saya berdoa supaya Melaka terus maju dengan rakyatnya dapat hidup harmoni dan mampu bersaing dengan negeri lain serta menjadi contoh,” titah Seri Paduka ketika merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Masjid Tanah di sini hari ini.

Pada majlis itu juga Seri Paduka berkenan Masjid Jamek Putra di sini dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah sempena nama Seri Paduka.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan barisan exco kerajaan negeri Melaka.

Sultan Abdullah turut berkenan memuji keramahan yang ditunjukkan rakyat Melaka sepanjang dua hari lawatan kerja baginda ke negeri bersejarah itu.

Sementara itu, Sultan Abdullah berkenan mengucap tahniah dan terima kasih kepada Melaka kerana merancang dan membina masjid itu bagi kegunaan rakyat serta berharap masyarakat setempat dapat mengimarah dan memakmurkan masjid tersebut.

“Saya rasa bertuah dan ini adalah merupakan masjid pertama di bawah nama saya selain daripada negeri Pahang.

“Dengan terbinanya masjid ini, ianya menjadi amanah bukan sahaja di bawah pengurusan masjid ini sebaliknya kepada seluruh umat Islam untuk mengembalikan institusi masjid sebagai sebuah pusat berasaskan prinsip iman dan takwa,” titah Seri Paduka.

Masjid Al-Sultan Abdullah sebelum ini dikenali sebagai Masjid Jamek Putra, bernilai RM6.5 juta dan mula dibina pada tahun 2015 sebelum siap sepenuhnya pada September 2017 selain mampu memuatkan sebanyak 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan lawatan kerja dua hari ke Melaka pada 16 dan 17 Mei.