YIK ubah tarikh ujian, bolehkan peserta sertai demo ICERD

YIK ubah tarikh ujian, bolehkan peserta sertai demo ICERD
Surat yang dikeluarkan oleh YIK bagi memaklumkan perubahan tarikh ujian yang dikatakan untuk membolehkan mereka menyertai perhimpunan ICERD 8 Disember.

Yayasan Islam Kelantan (YIK) didakwa telah mengubah tarikh ujian bertulis untuk memasuki sekolah-sekolah di bawahnya bagi membolehkan pihak terlibat menyertai perhimpunan membantah ICERD 8 Disember ini di Kuala Lumpur.

Menurut satu surat yang dikeluarkan oleh YIK pada 21 November lalu, tarikh asal ujian untuk memasuki sekolah Maahad di bawah kawalan YIK telah ditukar dari 8 dan 9 Disember kepada 15 Disember.

Tarikh ujian untuk memasuki Maahad Pilihan serta Sekolah Menengah Ugama (A)Tahfiz Sastera pula ditukar dari 9 Disember kepada 16 Disember.

Surat yang ditujukan kepada semua pengetua terlibat itu telah ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Sekolah) YIK, Haji Che Kamarudin Kamel bin Che Muhammad.

“Sukacita dimaklumkan, bahawa ujian bertulis permohonan kemasukan pelajar tingkatan satu ke Maahad Pilihan dan SMU(A) Tahfis Sastera Yayasan Islam Kelantan tahun 2019 akan ditunda sebagaimana berikut,” kata surat itu.

Sebelum ini tular juga di media sosial surat acara yang memaklumkan perhimpunan ICERD di setiap daerah di Kelantan yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, sebuah badan di bawah kerajaan negeri Kelantan.

Pas dan Umno melalui badan-badan yang ditubuhkan mereka telah menganjurkan perhimpunan Membantah ICERD pada 8 Disember ini di Kuala Lumpur.

Ia berdasarkan arahan presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dan juga pemimpin Umno.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan (tempat berlangsungnya himpunan ini), Kamaruzaman Mohamad adalah pengarah perhimpunan ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan ini akan diteruskan walaupun kerajaan telah membuat keputusan tidak akan meretifikasikan ICERD itu.