“You nak kejar masa, you keluar awal. Tidak perlu outrider”

Oleh NASUHA RAHMAN

“You nak kejar masa, you keluar awal, kalau tak, you selesaikan masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.

Beliau berkata demikian susulan tular klip video yang mendakwa anak Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan khidmat polis pengiring dalam kejadian di Pulau Pinang.

Katanya khidmat polis pengiring wajar dimansuhkan tidak kira untuk menteri, timbalan menteri apatah lagi kaum kerabat mereka kerana semuanya bukan raja.

“Sudah tiba masanya kita mansuhkan khidmat outrider polis kepada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat.

“Menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat, jauh lagi kaum kerabat mereka, semuanya bukan raja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Steven menyifatkan perkhidmatan itu sebagai pembaziran terhadap tenaga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, pihak polis dilaporkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang melakukan salah laku.

Ketua Polis Pulau Pinang, Dato Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataannya berkata pada 7 Mei 2022 jam lebih kurang 8.36 malam telah dikesan melalui satu rakaman video yang tular berdurasi selama 20 saat telah dimuat naik oleh pemilik akaun anwarrazeez.

“Rakaman video tersebut telah memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

"You nak kejar masa, you keluar awal. Tidak perlu outrider"
Steven Sim

Polis Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan insiden yang berlaku dan satu kertas siasatan tatatertib telah pun di buka.

“Siasatan terperinci akan dilakukan ke atas kedua-dua anggota polis yang terlibat serta pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” ujar beliau.

Terdahulu, pengguna media sosial berkongsi klip video yang dikatakan memaparkan insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Steven Sim yang juga setiausaha organisasi DAP berkata, tanpa mengira pihak mana yang menjadi kerajaan, khidmat polis pengiring kepada wakil rakyat itu perlu dimansuhkan.