Malaysia Dateline

Young Shefura gesa kerajaan kawal segera kenaikan harga barang mentah

ADUN Ketari, Young Shefura Othman menggesa kerajaan agar segera turun ke padang menjalankan siasatan untuk membendung masalah kenaikan harga barang makanan mentah yang semakin tidak munasabah dan membebankan kebelakangan ini.

Beliau berkata, banyak rungutan dan aduan daripada golongan petani bahawa harga racun dan baja untuk tujuan pertanian naik mendadak.

Ini katanya, menyebabkan harga barangan makanan seperti ayam, telur dan sayuran naik sehingga 200 peratus.

“Saya menyeru kerajaan untuk segera menyelesaikan masalah ini sebelum hidup rakyat melarat.

“Walaupun masalah ini sudah dikenalpasti sejak beberapa bulan dan kerajaan sudah berjanji akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga, apa yang rakyat dapat adalah pengumuman kerajaan untuk menjalankan kajian demi kajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memohon agar bantuan kerajaan kepada rakyat diperluaskan bukan sahaja untuk golongan B40, bahkan juga M40 yang semakin tersepit.

“Kerajaan sekarang membawa mesej kerajaan Keluarga Malaysia. Namun kenapa di bawah pentadbiran kerajaan ini, keluarganya iaitu rakyat semakin hidup tertekan dan tersepit?

“Saya berharap agar kemelut kenaikan harga barangan dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas dan tahun baru Cina menjelang,” tegasnya.