Malaysia Dateline

Burger Ramly tepi jalan juga jadi pilihan, Youtuber UK ini tak sangka makanan di Malaysia rupanya sedap

Sebut sahaja burger Ramly, pasti menjelma gambaran keenakan kepingan daging kasar buatan tempatan ini muncul di minda.

Jenama daging tersohor ini dikenali dengan daging yang amat empuk, mengiurkan dan menepati selera rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama serta pangkat.

Siapa sangka, burger yang diasaskan oleh anak petani asal Perak ini turut mendapat tempat di hati penduduk luar negara

Hal ini terbukti apabila penggiat laman sosial Youtube asal United Kingdom turut memuji kelazatan burger yang sering dijual di kaki lima ini.

“Sangat sedap, daging sangat lembut. Saya suka burger ini,” ulas Eli.

Eli atau pemegang akaun Youtube This Food Bangz ini meluangkan waktunya dengan mencuba pelbagai makanan tempatan di Malaysia.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk menjejakkan kaki di sekitar KLCC sebelum singgah salah satu gerai yang menjual burger Ramly.

Video yang mendapat lebih 100,00 tontonan itu menunjukkan Eli membuat pesanan burger keju ‘double’ yang berharga RM10.

Dia menanti dengan sabar untuk mencuba hidangan itu walau pesanannya mengambil masa hampir satu jam untuk disiapkan.

Eli juga terkejut apabila gerai yang kecil itu menerima pesanan yang amat banyak walaupun hanya beroperasi secara kecil-kecilan

“Ini (burger) sangat sangat sedap, dagingnya sangat lembut, sos juga manis dan roti turut dibakar dengan baik,” kongsinya selepas menikmati burger pesanannya.

“Kamu perlu datang ke sini, ia merupakan salah satu burger yang terbaik yang pernah saya rasai,” katanya semasa memberi huraian mengenai kelazatan burger itu.

Burger Ramly keluaran syarikat bumiputera, RAMLY FOOD PROCESSING SDN BHD ini diasaskan pada tahun 1984 oleh Datuk Ramly Mokni dan Datin Shala Siah Abdul Manap.

Baca juga: Gara-gara dicedera guru sampai patah kaki, murid darjah 3 saman hampir setengah juta ringgit