YTL Corp akan beli hotel di Madrid

YTL Corp akan beli hotel di Madrid

Anak syarikat YTL Corporation Bhd (YTL Corp), YTL Hotels & Properties Sdn Bhd dalam proses membeli hotel dicadangkan di Madrid, Sepanyol, menerusi pengambilalihan keseluruhan modal saham SOL HTL Project, S.L.U dengan harga RM1.04 bilion.

Hartanah SOL HTL akan diubah suai menjadi hotel 200 bilik, dikendalikan di bawah jenama Marriott International Inc Edition yang dijangka dibuka pada 31 Dis, 2020.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata cadangan pengambilalihan itu akan dilaksanakan selepas memenuhi beberapa syarat tertentu termasuk pembukaan hotel Edition.

“Pembayaran pembelian dan perbelanjaan sampingan bagi cadangan pengambilalihan itu dijangka dibiayai menerusi pinjaman dan/atau dana dalaman.

“Cadangan pengambilalihan tersebut adalah sejajar dengan pempelbagaian geografi kumpulan dan pengembangan asas hasil menerusi pembangunan baharu dan pembelian strategik,” kata YTL.

Menurut syarikat itu, segmen hotel mewah di Madrid sedang berkembang dan cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan tersebut memasuki pasaran ini menerusi hotel di lokasi strategik.

“Secara keseluruhannya, pengambilalihan itu dijangka memberi sumbangan positif kepada perolehan YTL Corp berikutan sasaran ia disiapkan adalah pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021,” kata syarikat itu.