Yusof Haslam bersyukur Syamsul makin akrab dengan ibu tak macam dulu

Oleh KIM SYAZIE

Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam mengakui anak sulungnya yang juga seorang pengarah banyak berubah sekarang tidak lagi menjauhkan diri dari keluarga seperti dahulu.

Kata Yusof, Syamsul kini sering menghubungi ibunya Datin Patimah Ismail setiap kali dia tidak dapat pulang ke rumah kerana kesibukan bekerja.

Datin Patimah juga sangat gembira ketika ini kerana Syamsul bukan sahaja sering menelefon, tetapi juga kerap menghantar mesej dan kiriman suara (voice note).

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja. Saya dan isteri sangat bersyukur melihat perubahan sikap Syamsul yang sudah rapat dengan keluarga. Dia juga selalu hubungi ibunya untuk bertanya khabar dan isteri saya pun sangat gembira

“Malah, bila dia (Syamsul) sibuk kerja dan tak dapat balik ke rumah, dia akan ‘call’ ibunya beritahu dan mohon maaf sebab tak balik. Dia juga kerap hantar mesej dan buat kiriman suara kepada ibunya. Jadi, antara kami memang selalu berhubung

“Cuma sekarang setahu saya, Syamsul berada di Pahang untuk siapkan penggambaran filem baharunya, KhawariJ terbitan Astro Shaw. Dia memang tengah banyak kerja ketika ini untuk filem-filemnya,” katanya memetik Harian Metro.

Yusof berkata, dia berasa lega melihat isterinya kini lebih ceria kerana dia faham tiada ibu bapa yang mahu menjauh dari anak-anak.

Dia juga enggan lagi membuka kisah lama dan hanya mendoakan yang terbaik buat anak-anaknya termasuk Puteri Sarah Liyana yang masih dianggap sebagai menantu.

“Apatah lagi, pada usia saya dan isteri yang sudah warga emas ini, kami hanya mahu hubungan anak-beranak baik-baik saja. Kasih sayang anak-anak itu yang kami utamakan.

“Apa yang dah lepas itu, biarlah dan tak perlu terus dikenang lagi. Saya dan isteri akan mendoakan anak-anak, begitu juga buat Puteri Sarah Liyana yang kami tetap anggap sebagai anak menantu,” katanya lagi.

Baca juga: Wanita bawa ‘lawat’ kedai runcit di Chicago, buktikan tak susah cari makanan Malaysia