Yusof Haslam hadir acara sukan cucu, Puteri Sarah sebak anak masih disayangi lepas bercerai

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana akui terharu apabila melihat gambar anaknya, Syaikhul ditemani kedua datuknya iaitu Megat Kamarudin dan Datuk Yusof Haslam.

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram, Puteri Sarah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bapa, Megat dan Yusof yang juga pengarah filem terkenal itu.

Penghargaan dibuat kerana mereka berdua sudi turun padang bagi memberikan sokongan kepada Syaikhul dalam sebuah acara sukan yang diadakan pada Sabtu lalu.

Menurut pelakon berusia 39 tahun itu, kehadiran dua lelaki penting itu adalah bukti anak-anaknya masih disayangi meski sudah berpisah dengan pengarah, Syamsul Yusof.

“Tidak tahu mengapa, tetapi gambar ini membuatkan saya merasa sedih. Terima kasih baba dan papa (Yusof Haslam) teman Syaikhul ke perlawanan bola sepak, hari ini,” tulisnya.

Menyifatkan dua individu tersebut sebagai figura hebat dalam hidup Syaikhul, pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu turut menitipkan pesan untuk kanak-kanak tersebut.

Puteri Sarah berharap, anak lelaki hasil perkongsian hidupnya bersama Syamsul itu akan mengenang dan membalas jasa kedua-dua datuk yang menyayanginya, kelak.

“Syaikhul Islam, awak ada dua figura hebat yang akan menjaga dan menyayangimu tidak kira apa pun. Jangan lupa, nanti balas jasa datuk-datuk awak.” Pesan Puteri Sarah.

Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia lima tahun.

Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu selepas sembilan tahun berumah tangga di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun, tahun lalu.

Perceraian difailkan oleh Puteri Sarah selepas Syamsul mendedahkan dirinya telah menikah sekali lagi dengan personaliti media sosial iaitu Ira Kazar tahun lalu, pada 6 Januari.

Dengan berwalikan bapa Ira sendiri iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi, mereka berdua sah menjadi suami isteri setelah menikah secara rahsia di Selatan Thailand.

Baca juga: Bos besar bertegas tiada sebab untuk pecat DJ Lin, setiap minggu pendengar DJ Lin antara tertinggi