Malaysia Dateline

Yusoff Rawther beri keterangan lebih tujuh jam di Bukit Aman

Polis telah mengambil keterangan bekas pekerja Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Yusoff Rawther di Ibu Pejabat Bukit Aman pada Isnin.

Memetik laoran Astro Awani, Yusoff, 26, memberi keterangan kira-kira tujuh jam di ibu pejabat berkenaan berhubung dakwaannya berkaitan salah laku seks terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia yang tiba pada jam 1 tengahari itu dilihat bersama peguamnya Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebelum keluar dari perkarangan Bukit Aman pada kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Peguam  Yussoff , Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla memaklumkan tindakan anak guamnya memberi keterangan kepada polis adalah untuk mendapatkan keadilan terhadap dirinya sendiri.

Malah, beliau percaya keterangan penuh yang telah diberikan oleh Yusoff akan disusuli dengan siasatan yang adil serta memegang prinsip kedaulatan undang-undang.

“Yusof bukan kanak-kanak, dia memahami apa yang dia lakukan. Jika dia membuat dakwaan palsu atau menipu, dia juga akan menerima akibatnya.

“Tetapi dia tetap membuat laporan polis dan melakukan akuan bersumpah (SD) dan hari ini (Isnin) dia datang untuk bagi keterangan penuh mengenai apa yang berlaku,” kata Mohamed Haniff.

Mohamed Haniff ketika ditemui memaklumkan bahawa keterangan anak guamnya direkod oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

 Jelasnya, kerjasama penuh akan diberikan anak guamnya jika dipanggil lagi bagi memberi keterangan. Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.  Yusoff sebelum itu membuat satu akuan bersumpah (SD) pada 19 November sebelum membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur.
Dalam laporan itu, Yusoff antara lain bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpahnya.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan beliau dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.

Sementara itu, peguam yang mewakili Anwar, Ramkarpal Singh dalam pada itu menjelaskan bahawa pasukan tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kepada Yusoff.

Sementara itu, Yusoff ketika ditanya mengenai tindakan beberapa ahli keluarganya yang mengeluarkan kenyataan terhadap dirinya, mengakui terkejut dengan tindakan itu.

 “Ahli keluarga saya kuat dan tabah hadapi situasi ini, itu datuk saudara saya, seseorang yang saya jumpa setahun sekali semasa Hari Raya Aidilfitri secara tiba-tiba jadi pakar dalam soal hidup saya hari ini.

“Ia agak mengejutkan saya. Keluarga saya sudah tampil dengan kenyataan dan saya membiarkannya setakat itu. Mana mana individu yang bukan sebahagian keluarga saya lebih baik tidak sibuk campuri urusan saya,” katanya ketika ditemui diluar perkarangan Ibu Pejabat Bukit Aman pada Isnin.