Malaysia Dateline

Zafrul diminta betulkan semula senarai projek runding terus PH

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz didesak untuk membetulkan semula senarai projek rundingan terus Pakatan Harapan (PH) daripada RM6.61 bilion kepada RM352 juta.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Zafrul seolah-olah sedang melakukan serangan politik yang kotor terhadap PH apabila cuba mencampurkan sehingga 95 peratus projek rundingan terus Barisan Nasional (BN) ke dalam senarai rundingan yang dilakukan PH.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengulangi faktanya, sebanyak RM6.258 bilion dari keseluruhan RM6.61 bilion projek rundingan terus sebenarnya telah diwarisi dari zaman BN dan terpaksa disambung oleh PH.

Beliau turut menegaskan, Zafrul tidak sewajarnya memasukkan projek Piala Fifa 2018 yang disiarkan di RTM dengan kos sebanyak RM29.9 juta ke dalam akaun rundingan terus PH, oleh kerana kos berkenaan ditaja syarikat swasta dan tidak membabitkan wang kerajaan.

“Ini tidak harus dimasukkan ke dalam senarai rundingan terus PH kerana kos RM29 juta itu ditaja syarikat swasta iaitu Air Asia dan Maxis.

“Semalam Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin juga menyoal pihak kami tentang bayaran RM29 juta kepada Sports Media & Distributor iaitu pemegang hak penyiaran piala dunia 2018.

“Pemegang ini bukan dilantik kerajaan Malaysia, tetapi Fifa mendapat hak monopoli di mana kita tak boleh hantar tender terbuka tetapi mesti menggunakan rundingan terus untuk mendapatkan siaran langsung,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP itu berkata Zafrul juga enggan menyebut bahawa projek Klang Valley Double Track (KVDT) II yang diteruskan PH adalah projek rundingan terus dari BN.

Lim berkata, projek berkenaan diluluskan sehari sebelum pembubaran Kabinet pada 2018 dan oleh kerana tidak mahu ada masalah perundangan, mereka meneruskan projek tersebut namun dengan rundingan baharu yang memberi penjimatan sehingga RM790 juta kepada kerajaan.

Justeru katanya, Zafrul sendiri perlu mendedahkan projek rundingan terus yang telah diluluskannya sepanjang menjadi Menteri Kewangan bagi Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Menteri-Menteri yang mengkhianat PH juga katanya, perlu tampil menjelaskan projek rundingan terus yang diminta mereka termasuklah Menteri Dalam Negeri (RM517 juta), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM170.8 juta), Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Perdagangan (RM1.2 juta) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (RM7.36 juta).

“Menteri pengkhianat harus tampil ke hadapan membuktikan mereka tidak berbohong, tidur dalam Kabinet atau sibuk membuat langkah Sheraton .

“Sekiranya isu ini tidak dipolitikkan, Zafrul perlu dedahkan rundingan terus BN dan rundingan terus yang diluluskan oleh beliau sendiri.

“Buktikan projek yang diluluskan adalah teratur dan mengikut kepentingan awam. Jangan ada layanan dua darjat seperti SPRM yang berhasrat kaji rundingan terus PH tetapi tidak BN atau PN,” katanya lagi.