Malaysia Dateline

Zafrul sahkan Najib minta rumah, tanah bernilai RM100 juta

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini selepas dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun menurut Zafrul maklumat berkaitan rumah dan hartanah bernilai RM100 juta tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

“Permohonan telah dibuat, perbincangan pun diadakan, sekarang kita menunggu keputusan jemaah menteri untuk dimuktamadkan,” katanya.

Tengku Zafrul pada awal jawapan menyatakan mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali diminta menjawab persoalan tersebut terutamanya daripada Ahli Parlimen blok pembangkang, beliau kemudian mengesahkan permohonan telah diterima.

“Saya kata permohonan ini, seperti saya sebut tadi, ia tiada dalam Bajet ia dibentangkan sebelum permohonan tersebut.

“Untuk laksanakan ini, ia akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti,” ujarnya.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menyatakan tidak berpuas hati dengan jawapan Zafrul

Sesi penggulungan tersebut berterusan panas apabila Ahli Parlimen berulang kali membangkitkan perkara sama sehingga membuatkan Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun beberapa kali mengarahkan mereka untuk duduk.