Zaharah wanita kedua dilantik Hakim Besar Malaya

Zaharah wanita kedua dilantik Hakim Besar Malaya

Tan Sri Zaharah Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Besar Malaya yang baharu.

Zaharah, 65, merupakan wanita kedua yang menyandang jawatan itu selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob yang berkhidmat sebagai Hakim Besar Malaya dari 2005 hingga 2007.

Beliau mengisi satu daripada empat jawatan tertinggi di Badan Kehakiman, menggantikan Tan Sri Ahmad Maarop yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

“Saya rasa berbesar hati dilantik,” katanya seperti dipetik Bernama.

Zaharah mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam di Istana Kehakiman.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahmad serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah yang masing-masing mengangkat sumpah jawatan mereka pada 12 Julai lalu.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenan pelantikan Zaharah sebagai Hakim Besar Malaya berkuat kuasa 11 Julai lalu.

Zaharah dilahirkan di Johor Bahru, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian, Johor sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru hingga tamat Tingkatan Enam.

Beliau menyambung pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada 1977.

Pada 1 Ogos 2004, Zaharah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman dan memulakan perkhidmatan sebagai hakim mahkamah atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan kemudian dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Feb 2015.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS