Zaharudin buktikan pendirian ‘setandan’ bekas pimpinan Pas tidak silap

Zaharudin buktikan pendirian ‘setandan’ bekas pimpinan Pas tidak silap

Pendirian sekumpulan pemimpin yang digugurkan dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas ke-61 pada empat tahun lalu terbukti tidak silap.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Abbas Azmi berkata, hal itu dibuktikan melalui pendedahan menantu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu ‘kartel dedak’.

Menurut Abbas, penglibatan lima pemimpin Pas seperti disebutkan oleh Zaharudin Muhammad membuktikan penegasan sekumpulan bekas pemimpin Pas yang kini mengisi kepimpinan AMANAH mengenai hubungan Pas-Umno bukan sekadar rekaan.

Isu kartel dedak yang berlaku dalam Pas, ujarnya, memperlihatkan kebenaran yang dibawa oleh bekas pimpinan Pas pada 2015.

“Jelas, siri pendedahan terbuka Zaharudin di Facebook itu memperlihatkan kepada rakyat kebenaran ‘setandan’ pemimpin Pas yang telah digugurkan pada muktamar empat tahun lepas.

“Panggilan ‘kartel dedak’ yang merujuk kepada penerimaan imbuhan dari Umno oleh pemimpin Pas tertentu telah dibuktikan melalui kenyataan dan pengakuan Zaharudin,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Untuk rekod, ‘setandan’ pemimpin Pas yang gugur merujuk kepada 18 bekas pimpinan Pas yang mempertahankan kerjasama politik dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat disingkirkan pada pemilihan kepimpinan parti.

Penguasaan kumpulan yang dilabelkan pro-ulama selepas menyingkirkan kumpulan progresif dan aktivis berlaku tiga bulan selepas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Keputusan pemilihan Pas itu sekali gus menyaksikan kemuncak perpecahan Pas memandangkan beberapa tahun sebelum itu bibit-bibit keretakan sudah wujud dengan pelbagai label negatif seperti tidak walak, liberal dan munafik haraki.

Mengulas lanjut, Abbas berkata, pendedahan Zaharudin yang berkaitan dengan penularan audio Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menjelang PRU-14 lalu sebenarnya turut menjawab kekeliruan ramai pihak tentang sikap lunak Pas terhadap Umno-BN.

“Senarai lima pemimpin Pas terlibat dengan kod nama ‘Dr Hussam II (kepala no 1)’, ‘Mr NT’, ‘Mr KT’, ‘Mr KH’ dan ‘semua dah tahu’ merupakan bukti apa yang kita uar-uarkan sebelum ini tentang wujudnya ‘hubungan sulit’ pemimpin Pas tertentu dengan Umno.

“Paling ketara, apabila terdapatnya pimpinan Pas sangat menyokong dan mesra dengan Umno-BN menjelang PRU-14 bahkan sehingga hari ini,” tambahnya lagi.

 

Pelik

Menyifatkan sikap pelik Pas sejak beberapa tahun lalu juga terjawab dengan siri kenyataan Zaharudin tersebut, Abbas berkata, Pas yang selama ini dikenali sebagai parti yang amat sensitif dengan Umno tidak lagi seperti itu.

Beliau mengimbas kembali pendirian Pas yang berpuas hati dengan pentadbiran Tabung Haji (TH) pada 2016 diikuti reaksi Pas terhadap hutang yang ditanggung 1MDB setahun selepas itu.

“Kita boleh lihat bagaimana sikap pemimpin Pas yang amat yakin dengan urus tadbir TH selama ini.

“Begitu juga apabila mereka bertemu dengan Arul Kanda Kandasamy (bekas Presiden 1MDB) pada pentadbiran kerajaan yang lepas.

“Mereka berpuas hati dengan penjelasan Arul Kanda sedangkan apabila disiasat banyak berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan wang ringgit.

“Kepelikan pimpinan Pas suka berpuas hati sama ada mereka tidak tahu pengurusan kewangan dan sebagainya, Wallahualam. Namun, itu semua menunjukkan hubungan baik Pas dan Umno,” ujarnya.

Sehubungan itu, Abbas menyeru ahli dan penyokong Pas berfikir kembali tentang landasan perjuangan sebenar Pas seperti dibawa oleh Dr. Burhanuddin Helmy kemudian diislahkan oleh Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Seharusnya ahli dan penyokong Pas memikirkan hal ini supaya perjuangan Islam yang dibawa Pas tidak hanya menjual agama.

“Kita tidak mahu akhirnya Islam disalah anggap sebagai agama yang tidak konsisten hingga terpalit dengan label-label yang tidak kita ingini,” tegasnya.

Beliau juga mengajak ahli Pas khususnya Pemuda berhijrah meninggalkan parti yang bermasalah itu untuk turut berada dalam semangat Malaysia Baharu.

“Saya menyeru kepada semua ahli Pas untuk marilah berada dalam PH dengan menyertai AMANAH yang dianggotai ramai sahabat lama.

“Ayuh berhijrah bersama AMANAH. Semestinya kami menerima dengan berlapang dada selagi mereka memahami landasan perjuangan AMANAH.

“Inilah cara kita untuk menyelamatkan negara ini. Parti hanya wadah tetapi paling penting perjuangan rakyat demi meneruskan kecemerlangan negara dengan membetulkan banyak kesilapan pentadbiran kerajaan BN lalu,” ujar Abbas lagi.