Malaysia Dateline

Zaharudin pertegas ‘mendedak’ bukan kerja Presiden Pas

Selepas menyenaraikan lima ahli kumpulan yang digelar sebagai ‘kartel dedak’, Zaharudin Muhammad malam ini menegaskan ayah mentuanya, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak terlibat dalam aktiviti ‘mendedak’ itu.

Bahkan, Zaharudin menyebut nama seorang anggota Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff berhubung isu penyebaran audio menjelang PRU-14.

Beliau berkata, serangannya sebelum ini terhadap Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Pusat tersebut memandangkan Abdul Hadi tidak terlibat dengan projek ‘dedak’ itu.

Istilah ‘dedak” tersebut dipercayai merujuk kepada sejumlah wang yang diterima sekumpulan pimpinan Pas daripada pihak tertentu.

“Dulu saya pernah tembak terbuka Nurul Islam tentang road show dia bahawa mendedak tu projek presiden.

“Kronologinya bermula apabila saya dapat info risik dari sahabat parti seberang bahawa akan ada audio penting pecah dekat PRU(14), saya jangka yang Nurul kempen ni ditrap oleh musuh, mungkin waktu dia call kempen sana dan kempen sini.

“Mungkin waktu dia bagi taklimat ada orang rakam. Jadi, saya tak tahu bentuk yang macamana.

Kebetulan kawan-kawan Penang dah dedah kempen dia waktu dia mesej seorang KP di Penang, jadi saya ambil peluang buat pengumuman dalam FB saya yang dakwaan Nurul itu salah,” tegasnya.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tersebut berkata, tindakannya terhadap Nurul Islam itu sebagai persediaan awal berdepan dengan kemungkinan serangan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU-14.

“Tujuan saya bukan nak dedahkan apa yang Nurul buat tapi backup awal dan matikan bahawa itu kerja individu, bukan parti.

“Buktinya saya dah lawan awal. Jadi bangkangan terbuka saya ni boleh jadi bukti bahawa mendedak ni bukan kerja tok guru,” ujarnya.

Pada ketika itu, jelas Zaharudin, misinya adalah menangani kemungkinan yang berlaku ekoran penyebaran audio yang dikaitkan dengan Nurul Islam.

“Waktu tu orang nak kata apapun peduli apa sebab misi saya ialah bimbang jangkaan yang bakal berlaku.

“Sekurang-kurangnya, itu bukti bahawa mendedak bukan kerja pimpinan.

Kartel waktu itu dah mula cucuk Tok Guru suruh hentikan FB saya,” dedahnya lagi.