Malaysia Dateline

Zahid ada kekuatan kemudi Umno, kata Pas

Pas berpandangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kekuatan dalam menerajui kepimpinan Umno selepas ini.

Menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas peletakkan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak, Zahid dilihat mampu meneruskan cabaran ini walaupun turut ditentang Tengku Razaleigh Hamzah.

“Sebab itu apabila Datuk Seri Najib Razak letak jawatan, saya fikir Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mampu untuk meneruskan cabaran walaupun ada pandangan berkaitan dengan Kuli, namun saya tengok kecenderungan yang ada ini pada Zahid masih kuatlah,” katanya kepada media di sini.

Untuk kali ini, katanya Umno memerlukan transformasi dalaman dalam pemilihan pada 30 jun nanti kerana ia akan membawa kepada satu perubahan besar.

Tambahnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian, Pas melihat kekuatan Umno adalah pada tiga juta keahlian parti itu dan dalam konteks kepimpinan, iaitu memerlukan satu penyusunan semula secara keseluruhan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian telah hadir meraikan lebih 10,000 rakyat negeri Kelantan di Rumah Terbuka Pas di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob dan Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.