Zahid  akan mohon perkenan Sultan Perak tubuh Majlis Daerah Bagan Datuk

Zahid akan mohon perkenan Sultan Perak tubuh Majlis Daerah Bagan Datuk

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memohon perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menubuhkan Majlis Daerah Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata dengan adanya majlis daerah itu, ia dapat mengurus dan memacu ekonomi untuk kemajuan dan pembangunan di daerah ini.

“Saya akan memohon perkenan Sultan Perak berhubung penubuhan majlis daerah itu untuk mengendalikan sendiri semua premis dengan kadar cukai yang tidak tinggi,” katanya ketika berucap pada Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Bagan Datuk di Pusat Komersil, Simpang Empat di Bagan Datuk, semalam.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Pengerusi MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon serta 5,000 tetamu lain.

Bagan Datuk diisytihar sebagai daerah ke-12 di Perak pada 9 Jan tahun lepas dan kini berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan selama-lamanya memegang jawatan Anggota Parlimen sebaliknya akan memberi peluang kepada generasi muda untuk meneruskan kemajuan di daerah itu.

“Kemajuan ini bukan untuk saya. Sebelum saya berundur sebagai Anggota Parlimen, saya ingin bangun dan majukan semua kawasan bagan, pekan kecil, perumahan dan premis perniagaan serta pusat komersil di Bagan Datuk.

“…tetapi, pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, berilah peluang kepada saya sekali lagi untuk membuktikan kepada penduduk Bagan Datuk. Kalau saya tak dapat buat yang terbaik pada pilihan raya nanti, saya sedia berundur,” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)