Malaysia Dateline

Zahid akhirnya akur Hajiji jadi Ketua Menteri Sabah

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur dengan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menamakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri baharu.

Ahmad Zahid berkata, biarpun berulang kali menegaskan bahawa seharusnya calon Ketua Menteri dilantik dari Barisan Nasional (BN), namun beliau menghormati keputusan yang dicapai oleh kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, setelah rundingan dibuat dalam kalangan Adun-Adun GRS, akhirnya bersepakat untuk mencalonkan Hajiji Mohd Noor, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan Warisan sebelum ini.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi Umno Sabah yang telah pun dipersetujui bersama.

“Semoga kerajaan baharu yang dibentuk ini dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Akujanji GRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Umno mengajak ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya calon Ketua Menteri Sabah tidak dilantik dari parti itu.

Ketua Pemuda Bahagian Titiwangsa Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, BN telah dijanjikan kerusi Ketua Menteri sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kemelut bagi menamakan Ketua Menteri berakhir apabila Hajiji memaklumkan bahawa GRS sebulat suara melantik beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.