Malaysia Dateline

Zahid akui Umno bukan parti yang dominasi kerajaan PN

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui partinya hanya sebahagian bukannya mendominasi kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bercakap sempena ulang tahun Umno yang ke-74 malam tadi, beliau berkata, penubuhan PN adalah kerana runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kini realitinya kita menjadi sebahagian daripada kerajaan. Walaupun kita bukan sebuah parti yang mendominasi kerajaan yang sekarang kerana hakikatnya kita hanya sebahagian daripada kerajaan.

“Tetapi minda, perasaan dan sikap sebahagian daripada kita seolah-olah kita sudah kembali seperti dahulu, yang mana pemimpin Umno adalah perdana menteri dan ahli-ahli Kabinet yang mewakili Umno yang kebanyakannya memegang jawatan utama dalam hierarki dalam kepimpinan Umno.

“Tetapi tidak begitu keadaannya kerana kita tahu bahawa penubuhan PN adalah sesuatu yang dilakukan kerana kerajaan (PH) yang dahulu runtuh,” katanya pada program wawancara khas anjuran Umno Online.

Untuk rekod, walaupun Umno menjadi komponen terbesar dalam PN dengan 41 Ahli Parlimen tetapi tidak pernah berlaku sebelum ini apabila presiden, timbalan presiden, dan dua naib presiden parti itu tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, cara fikir pemimpin Umno tidak boleh seperti ketika mereka menjadi parti pemerintah dominan di dalam BN sebelum ini.

Jelas Pengerusi BN itu, hal tersebut merupakan realiti pada masa sekarang walaupun mengakui Umno mempunyai jumlah kerusi agak besar dalam kerajaan PN.

“Tetapi beberapa orang so called tokoh (Umno)… the mainplayers (pemain utama) merasakan parti harus diberikan kementerian yang penting, diberikan jumlah kedudukan kerusi yang banyak di dalam barisan anggota pentadbiran harus diberikan tempat.

“Sebagai presiden parti saya pun merasakan begitu tetapi hakikatnya kita bukan sebuah parti yang dominan yang mengetuaai kerajaan. Hakikatnya harus kita terima.

“Mentaliti seolah kita mengetuai kerajaan BN (dulu) hakikatnya sebahagian daripada kerajaan PN walaupun kita menyumbang kerusi yang agak besar bersama rakan-rakan dalam Muafakat Nasional.

“Hakikatnya jangan menyalahkan orang yang membuat keputusan atau meletakkan bebanan di atas batu jemala (pemimpin kerajaan) bahawa kita mesti menekan apa yang patut kita perolehi,” tegas Zahid lagi.

Kabinet Muhyiddin menyaksikan Bersatu memiliki lebih ramai menteri iaitu 11 orang termasuk Perdana Menteri berbanding hanya sembilan dari Umno.

Begitu juga bagi jawatan timbalan menteri apabila Bersatu mempunyai 15 orang berbanding lapan sahaja dari Umno.