Zahid anggap Najib miliki kesabaran ‘luar biasa’

Zahid anggap Najib miliki kesabaran ‘luar biasa’

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tahap ketenangan dan kesabaran yang ‘luar biasa’ walaupun ketika berhadapan dengan cabaran getir sepanjang tempoh karier politiknya selama 40 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempoh 30 tahun mengenali perdana menteri, termasuk sebagai setiausaha politik beliau, rakan dalam parti dan lebih sebagai adik-beradik, beliau telah banyak melihat sendiri sifat sabar luar biasa Najib dalam menangani tekanan.

“Antaranya pada tahun 1987, iaitu ketika baru 17 hari saya menjadi setiausaha politik beliau apabila tiga exco Pemuda Umno ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk bekas anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali kerana ingin mengadakan perhimpunan berikutan ada masalah dengan pemimpin MCA.

“Nama beliau (Najib) maybe (mungkin) termasuk dalam senarai individu yang bakal ditahan. Saya melihat sendiri beliau tenang menjawab soalan ketika disoal pihak polis. Ia menampakkan kesabaran seorang bakal pemimpin besar,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran buku ‘Najib Razak 40 Years 40 Pictures’ di Stesen KL Sentral hari ini.

Karier politik Najib bermula selepas kematian mengejut ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Jan 1976, apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan yang disandang allahyarham pada ketika usianya 22 tahun.

Ahmad Zahid turut berkongsi cerita bagaimana Najib tetap bersabar dan tenang walaupun berdepan situasi cemas dan membabitkan keselamatan dirinya apabila pernah jatuh tersungkur di dalam kereta ketika pemandunya menekan brek secara tiba-tiba kerana mengelak sekumpulan kambing ketika dalam perjalanan ke Pahang.

“Pada masa itu beliau (Najib) terlelap di dalam kereta. Tindakan pemandu yang brek kereta secara mengejut menyebabkan beliau tersungkur…saya jangka dia nak marah, tetapi sebaliknya beliau hanya bertanya berapa kelajuan kereta.

“Pemandunya jawab kelajuan kereta dalam 200km/j, saya nampak telinganya dah merah dan jangka dia akan pecat pemandu itu tetapi beliau (Najib) sebaliknya secara sinis berkata pemandunya memandu umpama pesawat Cessna nak berlepas, sebelum melelapkan semula matanya,” kata Ahmad Zahid yang turut berada di dalam kenderaan itu.

Ahmad Zahid turut menyifatkan Najib sebagai seorang yang amat prihatin kerana masih mengingati kesemua bekas ketua Pemuda UMNO bahagian dan mengambil peduli kebajikan setiap seorang daripada mereka sehingga kini.

Mengulas mengenai buku berkenaan, Ahmad Zahid berkata kompilasi gambar dan artikel dalam buku itu amat sesuai untuk dijadikan rujukan dalam mengenali perdana menteri dengan lebih dekat.

Buku mewah terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) itu bersempena sambutan ulang tahun ke-40 karier Najib dalam politik dan memaparkan 40 gambar eksklusif Najib, sesetengahnya belum pernah disiarkan kepada umum.

Koleksi gambar berkenaan mengabadikan detik-detik yang signifikan dalam karier perdana menteri daripada tarikh penting 21 Feb 1976 apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Pekan menggantikan bapanya, sehingga hari ini.

Buku setebal 112 halaman itu juga mengandungi artikel ringkas dan gambar menarik termasuk detik Najib menjadi menteri besar Pahang, timbalan menteri serta menteri dalam pelbagai portfolio, termasuk menteri pertahanan.

Tidak terkecuali koleksi gambar perdana menteri bersama keluarga khususnya memori indah bersama Allahyarham Tun Razak, termasuk dalam beberapa paparan menarik yang memperlihatkan persamaan ketara wajah serta gaya antara kedua-duanya.

Naskhah berharga RM140 itu turut merakam teras kepimpinan Najib yang berorientasikan kepentingan rakyat iaitu gambar beliau menyelami denyut nadi masyarakat.

Selain buku tersebut, turut diadakan pameran gambar terpilih perdana menteri di KL Sentral yang berlangsung mulai hari ini sehingga 21 Feb manakala di Universiti Malaysia Pahang akan berlangsung dari 21 Feb hingga 25 Feb ini.

TAGS