Malaysia Dateline

Zahid antara saksi akan dipanggil isu kapal LCS

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan meneruskan sidang prosiding berhubung isu perbekalan kapal tempur persisir pantai (LCS) pada awal tahun hadapan, di mana prosiding tersebut telah berlangsung sejak bulan lalu.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, prosiding pada awal Januari 2021 itu akan memanggil saksi termasuk bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar

Selain itu, turut dipanggil ialah Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd selaku kontrakor utama projek kapal LCS.

“Pelantikan kontraktor utama iaitu BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus. Sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar dan tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah disiapkan.

“Kegagalan menyiapkan kapal LCS ini adalah amat serius kerana ia bukan sahaja membabitkan kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan bahkan juga memberikan impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Wong berkata, PAC Parlimen akan menjalankan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021.

PAC Parlimen juga menjangkakan untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ke Dewan Rakyat dalam sidang Parlimen Mac 2021

Wong berkata, setakat ini sudah empat mesyuarat dan prosiding diadakan dengan saksi-saksi yang telah dipanggil antaranya Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Ketua Setiausaha Pertahanan Malaysia (MINDEF), Datuk Sri Muez Abdul Aziz; dan Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang.