Malaysia Dateline

Zahid arah MP BN keluar dari kerajaan PN sebelum Februari

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi difahamkan mengarahkan kesemua Ahli Parlimen BN untuk ‘angkat kaki’ dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilapor berkata demikian dalam pertemuan bersama Ketua-ketua Umno Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zahid juga meminta semua Menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Umno melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021, lapor portal Mykmu sebentar tadi.

Perkembangan itu susulan keputusan 189 daripada 191 bahagian Umno menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Arahan mengejut agar meninggalkan PN dalam bulan ini bagi mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

Ahmad Zahid difahamkan berkata Umno tiada pilihan kerana kerajaan PN dianggap gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.

Beliau turut mendakwa kerajaan PN gagal menilai semula isu penjualan aset-aset Tabung Haji (TH) oleh Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Ahmad Zahid juga mempersoal kegagalan melakukan pembetulan dalam kes kematian anggota bomba Mohd Adib dan pendakwaan terpilih oleh PH masih berterusan.

Dalam masa sama, kegagalan mengambil tindakan ke atas menteri yang melakukan seks luar tabie juga antara punca dikatakan Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan.