Malaysia Dateline

Zahid bagi isyarat bakal nilai perkongsian kuasa dengan PN

Hantaran Facebook Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, seolah-olah menguatkan lagi bayangan bahawa satu penilaian melibatkan perkongsian kuasa di dalam Perikatan Nasional (PN) bakal dilakukan parti itu.

Menerusi catatan terbaharunya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, untuk berkongsi hidup dan kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip

“Tanpa keduanya, ianya harus melalui penilaian semula.

“Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

“Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula,” kata MP BN itu dengan bertanda pagarkan UMNO bangkit.

Semalam, Ahmad Zahid memberi gambaran bakal membuat satu keputusan politik besar susulan keputusan kes mahkamah Najib Razak semalam.

Zahid berkata demikian selepas mahkamah mendapati Najib bersalah dalam tujuh tuduhan termasuk salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Tentunya kita akan mengambil sesuatu keputusan politik yang agak besar hasil daripada keputusan (mahkamah),” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Semalam Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana tersebut.