Zahid berdepan 45 tuduhan, ikat jamin RM2 juta

Zahid berdepan 45 tuduhan, ikat jamin RM2 juta

Foto WAN ZAHARI WAN SALLEH

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadapi 10 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram dan lapan tuduhan rasuah.

Zahid mengaku tidak bersalah atas 10 tuduhan pecah amanah wang milik Yayasan Akalbudi dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta.

Zahid juga mengaku tidak bersalah atas 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Presiden Umno itu diikat jamin RM2 juta bagi kesemua 45 pertuduhan itu.

Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan tersebut dibayar secara ansuran iaitu RM1 juta dibayar hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Oktober.

Beliau turut memerintahkan Zahid menyerahkan pasport sebagai syarat jaminan sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes Ahmad Zahid Hamidi, lapor Malaysiakini.

Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta di sini tepat jam 8.15 pagi  bagi menghadapi beberapa pertuduhan.

 

Penyokong Zahid Hamidi membanjiri perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas timbalan perdana menteri itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau ditahan SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.

Di laporkan kira-kira 300 penyokong Zahid yang memakai baju merah membanjiri perkarangan mahkamah pagi ini bagi menyatakan solidariti buat pemimpin nombor satu Umno itu.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, T Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Zahid, diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.