Malaysia Dateline

Zahid bergegas ke Terengganu lepas selesai sidang Dewan Rakyat, minta bantuan ATM selesaikan isu logistik

Melihat keadaan banjir yang semakin membimbangkan di negeri-negeri Pantai Timur, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergegas ke Terengganu sejurus selesai sidang Dewan Rakyat semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook, Zahid memaklumkan sudah meminta bantuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia untuk selesaikan isu logistik bagi membantu mangsa banjir.

“Bagi menyelesaikan isu logistik yang melibatkan gerak kerja membantu mangsa dan penghantaran barang keperluan di lokasi, saya telah meminta pihak Angkatan Tentera Malaysia melalui Menteri Pertahanan.

“Bantuan tersebut adalah untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan yang sedang dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur ini,” katanya.

Hujan lebat yang berterusan dan taburan hujan seperti di Daerah Besut ini meningkat tiga kali ganda daripada taburan hujan biasa akibat luruan kedua Monsun Timur Laut.

Di Terengganu sahaja, lebih 39,721 mangsa banjir dikenalpasti dan 318 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan sekurang-kurangnya 10,800 keluarga.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga memohon orang ramai untuk patuh kepada arahan yang diberikan untuk mengurangkan kes mangsa terperangkap.

“Saya juga sekali lagi ingin memohon seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terdedah dengan bencana banjir agar dapat mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan berpindahlah sekiranya perlu.

“Agensi-Agensi menyelamat telah diarah untuk melaksanakan pemindahan awal ke PPS berdasarkan Amaran METMalaysia bagi mengelakkan kes-kes mangsa terperangkap di rumah berikutan kesukaran petugas untuk memasuki lokasi akibat terputus hubungan, air yang deras dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Negeri Terengganu masih berada dalam kategori bahaya mengikut Amaran Hujan Berterusan MET Malaysia dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku.