Malaysia Dateline

Zahid beri jaminan Umno ada hala tuju, strategi

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan parti tersebut mempunyai hala tuju dan strategi.

Jaminan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu susulan kemelut pimpinan tertinggi Umno, khususnya ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ahli Parlimen sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ada yang resah dan bertanya Umno seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang Presiden Umno lakukan? Ke mana Umno mahu dikemudi?

“Saya faham keresahan ini. Justeru, hari ini saya beri jaminan bahawa Umno ada hala tuju yang jelas.

“Hala tuju Umno paling utama ketika ini adalah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan PRU-15,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, sebahagian akar umbi Umno secara terbuka menuntut Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden Umno.

Dalam masa sama, beberapa pimpinan tertinggi Umno juga telah dan sedang berdepan pendakwaan salah laku.

Mengulas lanjut, Zahid menegaskan keperluan Umno untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.

“Semalam saya menjawab tentang status Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan Pas pada 2019 jika ada yang masih tertanya-tanya.

“Saya juga faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi. Sekali lagi saya beri jaminan Umno ada strategi.

“Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang Umno sedang dan akan lakukan,” tegasnya.

Bekas Menteri Pertahanan dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, strategi Umno tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang.

“Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana.

“Menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran) dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan,” katanya.

Sehubungan itu, Zahid mengulangi jaminan bahawa barisan pimpinan Umno mempunyai strategi yang terbaik untuk parti, ahli-ahlinya dan rakyat keseluruhan.

“Tetapi agak menghairankan apabila anti-Umno yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana Umno kononnya tiada hala tuju.

“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya? Saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” tambah Zahid lagi.