Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah mengadakan satu pertemuan tertutup bersama kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor, malam ini.
Pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana bermula 9 malam tadi.
Kira-kira jam 8.15 malam Zahid Hamidi dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar dengan kenderaan rasminya.
Difahamkan kesemua pemimpin utama Umno Johor selain 40 Adun sudah berada di kediaman rasmi sejak jam 8 malam lagi.
Turut dijadualkan hadir ke pertemuan tertutup itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.
Menurut sumber Umno Johor, agenda utama pertemuan tertutup itu adalah untuk membincangkan pembahagian tugas jentera negeri bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
“Presiden juga dijangka mengingatkan kesemua 40 Adun yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak selesa dan terus meningkatkan perkhidmatan.
“Ia berikutan PRU-15 adalah padang permainan yang lebih besar dengan segala isu tidak dijangka akan menjadi peluru berbahaya,” katanya dipetik Harian Metro.
Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan tahun ini.
Setiausaha Agung Umno dilaporkan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Baca juga: Penyatuan ummah: Pas ada pelan kedua dengan Umno, Bersatu pula yakin Pas pilih PN
Baca juga: Padah berlabuh tanpa kebenaran, kapal ini ditahan Maritim