Malaysia Dateline

Zahid tuntut Muhyiddin lantik pemimpin Umno Sabah

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini membuat tuntutan bagi melantik barisan kepimpinan Umno di Sabah.

Dalam satu surat rasmi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zahid menyenaraikan empat tuntutan antaranya, mahu melantik Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Perhubungan Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai Pengerusi Pembangunan Persekutuan Sabah.

Zahid juga mencadangkan pelantikan Ahli Parlimen Kimanis merangkap Ketua Umno Bahagian Kimanis iaitu Datuk Mohamad Alamin sebagai Timbalan Menteri bagi mewakili Umno Sabah.

Manakala, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Umno Sabah.

Dan tuntutan terakhir, Zahid meminta Datuk Yakubah Khan iaitu Ahli Majlis Kerja Tertingi Umno yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Menurut Zahid, tuntutan dan cadangan itu dibuat atas semangat Perikatan Nasional dan wajar diberi perhatian khusus oleh Muhyiddin.

Cadangan dan tuntutan itu adalah hasil perbincangan yang telah diadakan antara Zahid bersama kepimpinan tertinggi Umno Sabah.

“Saya berharap YAB, Tan Sri dapat memberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya cadangan bagi memperlihatkan kebersamaan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional bukan hanya di peringkat pusat tetapi khususnya di peringkat negeri Sabah,” ujar Zahid di dalam surat berkenaan yang bertarikoh 16 April 2020.