Malaysia Dateline

Zahid cabar ‘makhluk perosak’ letak jawatan menteri

Lantang menggelar seorang menteri dari partinya sebagai ‘makhluk perosak’, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pemimpin itu melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Tanpa menyebutkan nama, Presiden Umno itu turut mendakwa menteri tersebut ‘menikam’ Umno dari belakang.

“Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tidak ada di pentas ini tapi menikam Umno dari belakang.

“Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tidak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan,” tegasnya.

Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, petang tadi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa merupakan satu-satunya menteri Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkenaan sebelum ini dianggap condong terhadap Bersatu bahkan pernah menyatakan Umno akan rugi jika tidak bekerjasama dengan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Susulan pemecatan Annuar sebagai Setiausaha Agung BN, Ahli Parlimen Ketereh itu mendedahkan bahawa Zahid mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun Umno menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu tuduhan jahat.