Zahid cabar Najib di Pekan selepas calon undur

Zahid cabar Najib di Pekan selepas calon undur

Zahid Mat Arip, yang pernah menjadi pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, kemungkinan besar bertanding di Pekan menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut sumber PPBM seperti dilapor FMT hari ini.

Ia selepas Kamarul Ariffin Mohd Shahar, calon yang sebelum ini dinamakan untuk cabar Najib, bersetuju berundur selepas pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Menurut Kamarul, bekas perdana menteri itu sudah menjelaskan strategi untuk Pekan dan meminta beliau berkorban untuk memberi laluan kepada calon baru.

“Ia juga ketara daripada penjelasan Tun, strategi itu juga akan mengubah landskap politik di Malaysia,” katanya.

 “Saya setuju atas permintaannya dan untuk memberi laluan kepada Zahid Mat Arip.”

Sumber memberitahu FMT, Dr Mahathir dijangka mengumumkan pencalonan Zahid hari ini.

Zahid yang juga ahli Majlis Tertinggi PPBM, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos lepas bagi membantu siasatan ke atas pembelian hotel dengan harga lebih tinggi berbanding nilai pasaran oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan mendakwa penahanan itu satu bentuk penganiayaan.

Zahid, cucu kepada arwah timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba, sebelum ini pernah memfailkan tuntutan untuk mengubah status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB. Bagaimanapun, tindakan itu digugurkan.

Najib menyandang kerusi Pekan sejak 1976, dan pada pilihan raya umum lalu menang dengan majoriti 35,613 undian. Beliau meraih 51,278 undian menentang Mohd Fariz Abd Talib dari PKR yang memperoleh 15,665 undian.

CATEGORIES
TAGS