Malaysia Dateline

Zahid cuba strategi dapat Melaka di peringkat Pusat, dakwa bekas KM

Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mendakwa langkah yang disusun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di peringkat Persekutuan, sama dengan strategi yang digunakan di Melaka yang akhirnya membolehkan Umno kembali berkuasa.

Beliau berkata, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan sokongan kepada Adun Bersatu untuk menjadi Ketua Menteri, Umno mengambil tindakan dengan mencalonkan Ketua Menteri lain iaitu dari PKR.

“11 daripada 13 wakil rakyat Umno menandatangani SD (Akuan bersumpah) di hadapan Zahid Hamidi bagi menyokong seorang Adun PKR untuk menjadi Ketua Menteri.

“Melompat la dia kerana dia calon Ketua Menteri. Namun bilangan sokongan masih tidak cukup, 11 Umno termasuk dirinya sendiri, hanya 12 dari 28 keseluruhannya.

“Sebagai calon Ketua Menteri maka tugasnya adalah mencukupkan bilangan. Maka dapatlah ditambah dengan seorang wakil rakyat dari DAP. Jadilah 13 sahaja. Tetap tidak cukup bilang. Tapi sudah melompat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adly berkata, selepas Umno berjaya mendapatkan sokongan dari seorang wakil rakyat PKR dan seorang dari DAP, Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu di Melaka sekaligus mematahkan hasrat Bersatu untuk menjadi King Maker.

Umno kemudian memberi kata dua sama ada Adun dari parti mereka menjadi Ketua Menteri atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Dun dibubarkan adalah pilihan PH dan ketakutan terbesar bagi mereka yang melompat dikala itu. Maka oleh kerana tiada pilihan, Umno akhirnya diterima menjadi Ketua Menteri.

“Langkah di Melaka yang disusun Zahid memang menjadi. Langkah yang sama digunakan diperingkat Nasional. Menyokong tapi nombornya tidak juga cukup, sampai kiamat.

“Nombor hanya cukup kalau Umno kembali berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, dua adun Pakatan Harapan (PH) masing-masing dari PKR dan DAP memutuskan untuk meninggalkan PH dan membentuk kerajaan baru bersama PN di Melaka.

Adun berkenaan ialah Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee (DAP).

Ketua Menteri Melaka ketika ini disandang Adun Lendu dari Barisan Nasional yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno, Datuk Sulaiman Md Ali.

Hari ini Setiausaha Agung Bersatu mengesahkan Umno telah menghantar surat memaklumkan parti itu (Umno) tidak akan bersama Bersatu dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Namun pemimpin Umno akan terus berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga tamat darurat dan Parlimen dibubarkan.