Malaysia Dateline

Zahid dakwa Bersatu makin kuat ‘merentan’, mengata Umno itu ini

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bersatu semakin kuat ‘merentan’ sejak kebelakangan ini, serba tidak kena dan terus mengata tentang Umno.

Beliau berkata, sebelum ini dengan angkuh Bersatu dilapor mahu ‘melanggar’ Umno di Melaka, tetapi masih merungut tidak sudah-sudah.

Beliau juga mendakwa, Bersatu sedang takut dengan bayang-bayang sendiri selepas Umno enggan bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Marah benau pendokong PPBM kerana Umno tidak bekerjasama dengan mereka pada PRN Melaka.

“Sehingga sanggup melancarkan propaganda tidak masuk akal konon majoriti ahli Umno mahu bersama PPBM.

“Rakyat mengerti mengapa PPBM menggelisah begitu teruk disebabkan pendirian Umno. Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan kezaliman mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Beliau juga mendakwa, Bersatu bersama DAP semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) telah memfitnah Umno sejak 2016 dan bergandingan menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 dengan tipu daya.

Tetapi kini, Bersatu perlu berdepan semula dengan Umno dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita, kata Zahid.

“Selepas fitnah yang ditaburkan oleh mereka sudah tumpul, rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri,” katanya lagi.