Malaysia Dateline

Zahid dakwa tiada sebarang perbincangan dengan PKR, DAP, Bersatu

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini, tidak ada perbincangan berkaitan dengan PKR, DAP dan Bersatu sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Menerusi ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) hari ini, Zahid menegaskan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bahkan menegaskan Umno akan ke gelanggang PRU-15 dengan panji Barisan Nasional (BN).

“Perlu saya tegaskan di sini mengenai pendirian kita dalam menghadapi PRU-15. Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno… ‘No Bersatu, No Anwar, No DAP’.

“Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji BN,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Umno diasak dari luar dan dalam, malah usaha memecahbelahkan parti itu masih belum berhenti.

Sehubungan itu, Zahid menyeru ahli bersatu bagi menghapuskan tanggapan buruk terhadap parti yang menjadi tulang belakang BN tersebut.

“Usaha memecahbelahkan Umno dari luar masih belum berhenti. Adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadi ‘lidi seikat’ yang mampu menyapu kotoran serta menghapuskan persepsi negatif terhadap Umno dan kita semua.

“Akar umbi parti serta rakyat amat mendambakan Umno dan BN menjadi dominan semula.

“Kepemimpinan pada pelbagai peringkat perlu meraikan harapan ini dengan respons positif ke arah menjadikan ia suatu realiti,” kata Zahid lagi.