Malaysia Dateline

Zahid guna hampir RM1.5 juta dana termasuk bayar cukai jalan 20 kenderaan

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi miliknya berjumlah RM1,469,547.36 untuk membayar kad kredit, insurans dan cukai jalan 20 kenderaan miliknya.

Presiden Umno itu didapati membayar sembilan kad kredit beliau dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis atas penggunaan peribadi berjumlah RM1,362,037.81, manakala RM107,509.55 lagi untuk pembayaran insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan milik mereka.

Hal itu diberitahu saksi pendakwaan terakhir pada perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya mendapati Zahid menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar kad kredit AmBank Islamic sebanyak RM1,296,715.98, Maybank (RM34,686.03) dan American Express (RM30,635.80).

“Kad kredit AmBank Islamic dan Maybank mempunyai kad tambahan atas nama Hamidah Khamis.

“Hasil semakan dan penelitian ke atas penyata akaun bagi semua kad kredit itu mendapati banyak perbelanjaan dibuat di luar negara dan dibayar menggunakan cek Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi antara 2014 hingga 2016,” katanya membacakan penyataan saksinya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.

Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Khairudin memberitahu Zahid juga menggunakan wang yayasan itu untuk membayar insurans dan cukai jalan bagi 20 kenderaan termasuk 18 kenderaan mewah miliknya termasuk BMW X5, Mini Cooper S, Mercedes Benz CLS350, BMW 320i (A), Toyota Land Cruiser dan motosikal BMW R1200 GS.

“Bagi bayaran pertama sebanyak RM17,335.54 digunakan untuk membayar polisi insurans dan RM7,625.01 bagi bayaran cukai jalan membabitkan enam kenderaan milik Ahmad Zahid dan isteri, dengan pembayaran dibuat melalui tiga cek Affin Bank Berhad pada 22 Januari 2015.

“Bayaran kedua sebanyak RM27,246.90 untuk polisi insurans dan RM16,368.10 bagi bayaran cukai jalan melalui cek Affin Bank Berhad pada 15 April 2015, membabitkan empat kenderaan milik Ahmad Zahid, sebuah kenderaan milik BZ Motors Sdn Bhd dan sebuah kenderaan milik Juhari Janan.

“Bagi bayaran ketiga pula, sejumlah RM27,607.11 digunakan untuk membayar polisi insurans, manakala RM11,276.89 untuk membayar cukai jalan membabitkan lapan kenderaan milik Ahmad Zahid dan bayaran dibuat melalui cek Affin Bank Berhad pada 22 September 2015,” katanya lapor Bernama.