Malaysia Dateline

Zahid hulur ranting zaitun kepada PH untuk bentuk kerajaan

Saya mendapat perkhabaran yang Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, telah menghulur ranting zaitun kepada Pakatan Harapan.

Malah dikatakan yang sebelum Subuh tadi Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana Negara mengenai hal itu.

Ia bersangkut-paut dengan penubuhan kerajaan campuran di kalangan PH, BN dan parti-parti dari Sarawak dan Sabah bagi mengatasi situasi parlimen tergantung. Kalau betul Alhamdulillah.

Bukan parlimen saja tergantung malah dua buah dewan undangan negeri iaitu Perak dan Pahang menghadapi situasi yang sama.

Dalam pilihan raya umum semalam tidak ada parti yang mendapat majoriti (112 kerusi) bagi membentuk kerajaan. PH menang 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 dan BN 30. (Lihat carta Astro Awani di bawah).

Melalui persetujuan atau tawaran ini, kerajaan pusat boleh ditubuhkan dengan menjemput parti-parti dari Sarawak dan Sabah yang ingin bekerjasama.

Di peringkat DUN pula, kerjasama itu akan membolehkan PH membentuk kerajaan di Perak dan BN di Pahang.

Apa pun halnya, kita wajib mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin memandangkan pelbagai masalah genting yang dihadapi oleh negara dan rakyat jelata.