Zahid imamkan solat hajat lindungi Najib

Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengimamkan solat hajat di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta semalam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga disertai barisan kepemimpinan baharu Umno antaranya Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Datuk Seri Razali Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook, Zahid memberitahu, solat hajat itu bertujuan memohon Allah melindungi Najib serta keluarganya daripada fitnah dan kezaliman.

“Semoga Allah melindungi beliau dan keluarga daripada fitnah serta kezaliman orang yang khianat dan zalim,” katanya.

Turut serta bersama majlis solat khas itu adalah Ahli Majlis Tertinggi parti antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Utusan Online juga melaporkan ketua-ketua sayap parti iaitu Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan turut meluangkan masa hadir.

Kelmarin, Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada 2.35 petang kemudian esoknya didakwa di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu penyalahgunaan kuasa membabitkan danda SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Walau bagaimanapun, bekas perdana menteri itu yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh perbicaraan mulai 18 Februari tahun depan dan 8 Ogos ini untuk pengurusan kes.

 

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 5.0