Malaysia Dateline

Zahid ingatkan MP Umno wajib taat setia kepada Agong

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen Umno untuk mesti menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan ke atas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan; memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan Umno untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, Umno sebelum ini yang menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Mahiaddin mempunyai 38 kerusi Parlimen.

Perikatan Nasional hanya didukung 77 kerusi Parlimen dengan Bersatu mempunyai 32 kerusi Parlimen manakala Pas (18) dan STAR satu Parlimen.

Turut bersama PN ialah Gabungan Parti Sarawak atau GPS (18), Bebas (3), MCA (2) manakala satu kerusi masing-masing dari MIC, PBRS, PBS.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Mahiaddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

“Lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu (26 Julai) di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” tegas Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, beliau berkata, Umno akan meminta Mahiaddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat.