Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dianggap sama seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Sofi Wahab berkata, kegagalan kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebenarnya menunjukkan kegagalan Umno dan menteri-menterinya di dalam Kabinet.
Ini kerana katanya, Umno mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri yang mana mereka memegang portfolio penting khususnya dalam pengurusan Covid-19.
“Menteri yang mengetuai kluster keselamatan adalah dari Umno iaitu Ismail Sabri. Menteri yang jaga kesihatan, Umno juga iaitu Adham Baba. Menteri yang menguruskan pembelian Covid-19 dan menguruskan vaksinasi ini daripada Umno, Khairy Jamaluddin. Menteri luar dari Umno, Hishamuddin dan ramai lagi.
“Apabila Zahid mengatakan bahawa kerajaan Mahiaddin gagal, sebenarnya Zahid mengatakan bahawa Umno itu sendiri gagal
“Kerana ketiga-tiga kementerian penting yang menguruskan pandemik Covid-19 ini datangnya dari Umno,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sofi menegaskan, sepatutnya Umno tidak hanya menuding jari kepada Mahiaddin tetapi Zahid kena sedar bahawa kelemahan kerajaan Mahiaddin adalah disebabkan kegagalan menteri-menterinya juga.
Bahkan katanya, Zahid seharusnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kelemahan menterinya sendiri dalam menguruskan wabak Covid-19.
Beliau berkata, Mahiaddin, Perikatan Nasional (PN) dan menteri-menteri Umno tidak wajar dilantik lagi menganggotai Kabinet sekiranya kerajaan sementara dibentuk kerana merekalah yang sebenarnya telah mengecewakan rakyat.
“Menteri-menteri Umno, PN, Pas, Bersatu tak layak jadi perdana menteri atau menteri-menteri kerana semuanya adalah gagal,” ujarnya.